Penganalisis percaya MH370 mendarat

By: Unknown →

Penganalisis jenayah percaya tiada unsur bunuh diri dalam misteri kehilangan 
pesawat Malaysia Airlines MH370 dan pesawat itu selamat mendarat di suatu
 kawasan yang tidak diketahui lokasinya.
    
Presiden Kesedaran Pencegahan Jenayah, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang 
Yahya berkata berdasarkan fakta-fakta diumumkan setakat ini, sesiapa jua 
yang mengambil alih pesawat itu tidak berniat untuk membunuh diri.

Katanya ini kerana pihak yang bertanggungjawab nampaknya membuat 
perancangan teliti dan amat pakar tentang selok-belok penerbangan serta
kedudukan radar termasuk cara untuk mengelakkan pesawat itu daripada dikesan
    
Dr Saharuddin juga percaya sesiapa sahaja yang mengambil alih pesawat 
Boeing 777-200ER itu berpengalaman mengendalikan pesawat itu.
    
"Walaupun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam situasi sebegini, namun 
saya jangkakan tiada unsur bunuh diri melibatkan juruterbang pesawat 
berkenaan," katanya kepada Bernama.     
        
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam 
penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar 
kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa 
Kuala Lumpur pada jam 12.41 pagi 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya 
mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.
    
Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila
 usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.
    
Ia telah didedahkan sebelum ini bahawa seseorang dengan sengaja mematikan 
sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut data satelit Inmarsat, 
pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.
    
Pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat itu terbang ke arah barat Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut dan memasuki sama ada koridor 
utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; atau koridor selatan meliputi kawasan dari 
Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
    
Operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan membabitkan 26 negara 
antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, 
Bangladesh, India, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia .

Dr Saharuddin berkelulusan Doktor Falsafah Antropologi Sosial dari Universiti 
Antarabangsa Wisconsin di Amerika Syarikat, dan menaungi beberapa pertubuhan
badan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi tenaga pengajar di Universiti 
Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), cawangan Kuala Lumpur,
dalam bidang Antropologi sejak 2009.
    
Berkecimpung sebagai pejuang hak pengguna selama lima tahun, beliau yang 
kini berusia 52 tahun itu kerap ditemu bual media tempatan mengenai isu-isu 
melibatkan keselamatan dan kepenggunaan.- Bernama
    Share On:
ADMIN

PERINGATAN:JOMBACAPAPER.BLOGSPOT.COM tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.