'Gempar'..Bekas mufti tegur guna bomoh cari MH370

By: Unknown →

Bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur penggunaan
aktiviti perbomohan untuk mencari pesawat MH370 yang hilang ketika dalam
perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lalu.

Sambil menyifatkan langkah itu sebagai "satu kerja bodoh", Asri berkata, 
langkah “khurafat dan tahyul” itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia 
tidak dapat diterima akal waras.

“Ini tahyul, khurafat, kerja bodoh dan tidak waras. Agama tidak dapat terima 
(langkah ini). Dengan buat begitu, dia (bomoh) beri gambaran salah pada
 ajaran Islam.

“Dia seolah ambil kesempatan. Siapa yang membawanya (untuk tujuan itu), 
amat malang dan memalukan,” kata Dr Mohd Asri (kiri) yang juga pensyarah 
Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

 Bernama semalam melaporkan, kehilangan MH370 mendapat perhatian 
"Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP" Ibrahim Mat Zin yang mendakwa dijemput
 seorang pegawai tertinggi negara ke KLIA bagi menggunakan ilmu tradisional 
 dan solat hajat.

Ibrahim berkata, beliau menggunakan bubu mata pancing dan teropong yang 
diperbuat daripada buluh untuk meminta dan berdoa supaya melepaskan 
mangsa agar dapat dijumpai secepat mungkin.

Berpengalaman selama 50 tahun, Ibrahim menjadi popular melalui perkhidmatan 
kejadian Highland Tower runtuh, pencarian mayat semasa banjir Kuala Dipang, 
Kampar Perak dan kes pembunuhan seorang ahli politik oleh Mona Fendy.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Asri menegaskan, dalam Islam, 
tiada sesiapa yang mengetahui perkara ghaib kerana ia di luar pengetahuan 
manusia.

“Tiada siapa boleh buat kuasa tuhan. Kalau boleh, sudah tentu Nabi Muhammad
 menjampi semua penentangnya supaya terima Islam.

“Kuasa-kuasa ghaib ini kalau berlaku menggunakan perantara syaitan. Mungkin 
(hasilnya) jadi, tapi ia bukan ajaran Islam,” katanya.-malaysiakini

    Share On:
ADMIN

PERINGATAN:JOMBACAPAPER.BLOGSPOT.COM tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.