MH 370 DIMANAKAH MEREKA?

By: Unknown →
Norli Akmar Hamid, 33, dan Mohd Razahan Zamani, 29, baru sahaja berkahwin 
lebih setahun yang lalu dan merancang untuk bercuti bersama di Beijing. 
Mereka hilang sejak enam hari lalu.
Sofuan Ibrahim, 33, mendapat tawaran bertugas di luar negara daripada 
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan dalam perjalanan 
untuk melapor diri di Beijing. Dia hilang sejak enam hari lalu.
Kranti Shirsath, 44, dalam penerbangan ke Korea Utara melalui Beijing 
untuk bertemu suaminya, Pralhad Shirsath. Mereka tinggal berasingan 
sepanjang 17 tahun usia perkahwinan kerana tuntutan kerjaya. Mereka 
sudah merancang untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga di India. 
Dia hilang sejak enam hari lalu.
Tan Wei Chew (kiri), 19, baru lulus kolej dan ingin bercuti bersama keluarga-
nya sebelum memohon tempat di sebuah universiti di Amerika Syarikat. 
Dia dan ibu bapanya hilang sejak enam hari lalu.
Andrew Nari menghabiskan banyak masa jauh dari rumah kerana tugasnya 
sebagai ketua pramugara yang memerlukan dia terbang hampir sepanjang masa. 
Anak perempuannya kini begitu merinduinya. Dia hilang sejak enam hari lalu.
Noorida Mohd Hashim, 57, baru bersara selepas berkhidmat dengan Dewan 
Bandaraya Kuala Lumpur. Dia diraikan dalam satu majlis jamuan perpisahan 
tidak sampai 12 jam sebelum berlepas ke Beijing untuk bercuti. Dia hilang sejak 
enam hari lalu.
Datuk Mohamed Ramli Abbas, pengerusi Kumpulan Modal Perdana, tidak 
mengikut isteri dan dua anaknya ke Beijing yang turut menaiki pesawat 
MH370. Noorida, pesara DBKL, merupakan adik iparnya. Keluarganya 
hilang sejak enam hari lalu.

Mereka yang hilang itu adalah sebahagian daripada 239 orang yang berada 
dalam pesawat Boeing 777-200 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke 
Beijing pada pagi Sabtu 8 Mac lalu. Pesawat itu tidak tiba di Beijing.

Ia hilang tanpa dapat dikesan lebih kurang sejam setelah berlepas dari KLIA. 
Ramai lagi individu yang mengalami nasib sama seperti mereka -- kehilangan 
anak, ibu, ayah, suami, isteri, sahabat, tunang, majikan, pekerja dan 
sebagainya.

Dengan operasi mencari dan menyelamat pesawat penerbangan MH370 yang 
masuk hari keenam, banyak tumpuan diberikan kepada banyak perkara - 
daripada soal ketidakcekapan pihak berkuasa menangani krisis sehinggalah 
kepada teori konspirasi (termasuk aksi lucu 'Raja Bomoh') sampailah kepada 
di mana kedudukan pesawat itu.

Media di seluruh dunia kini berdepan dengan imej satelit, rakaman video 
sidang media rasmi, visual pesawat terbang ke sana ke mari dan tokoh cerdik 
pandai yang bercakap tentang ilmu pengetahuan penting, manakala orang ramai 
berbahas tentang pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

Semua ini boleh menyebabkan kita terlupa hakikat utama bahawa insiden 
kehilangan pesawat ini melibatkan sejumlah orang yang mempunyai kisah hidup 
tersendiri dan memiliki insan tersayang.

Pengakhirannya, biar apapun kesudahan tragedi ini — baik atau buruk, ia 
bakal meninggalkan kesan dalam hidup seseorang.sumber
    Share On:
ADMIN

PERINGATAN:JOMBACAPAPER.BLOGSPOT.COM tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.