#MH370: Malaysia Nafi Tuduhan Bersikap Tidak Prihatin

By: Unknown →
KUALA LUMPUR – Malaysia menafikan tuduhan media antarabangsa bahawa 
ia tidak prihatin terhadap keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) 
MH370 kerana tidak menghantar wakil ke perjumpaan bersama keluarga 
berkenaan di Beijing, China.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia amat prihatin dengan 
keluarga berkenaan dan Kumpulan Kerja China juga telah mengadakan 
perjumpaan dengan Duta Besar Malaysia di China Datuk Iskandar Saruddin 
pada 8.20 malam, 13 Mac lepas.

Dalam perjumpaan itu, katanya kerajaan China diketuai oleh Timbalan 
Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan Beijing, Liu Zhi.“Turut menghadiri 
perjumpaan itu ialah wakil-wakil Jabatan Penerbangan Awam (DCA), 
MAS serta beberapa pegawai di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

“Semasa pertemuan tersebut, Liu memaklumkan kepada Datuk Iskandar 
Saruddin bahawa atas tujuan keselamatan, beliau dinasihati supaya tidak 
hadir dalam sesi taklimat bersama ahli keluarga mangsa,” kata Anifah dalam 
kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Liu menyatakan Iskandar hanya perlu hadir pada perjumpaan 
itu.sekiranya ada maklumat baharu dan penting yang ingin disampaikan 
contohnya, penemuan pesawat yang hilang itu.

Liu menasihati Iskandar demikian kerana kemungkinan berlakunya tindakan 
luar kawalan oleh keluarga mangsa terhadap pegawai dari kedutaan termasuk 
ke atas beliau, kata Anifah.

“Dalam hal ini, Duta Besar (Iskandar) memaklumkan kepada Liu bahawa 
beliau bersetuju dengan nasihat pihak China supaya hanya menghadiri sesi 
taklimat yang penting sahaja dengan keluarga mangsa,” katanya.

Pada masa sama, Anifah melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada 
masyarakat antrabangsa khususnya negara-negara Asean yang turut sama 
terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat milik MAS itu.

Operasi mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 227 
penumpang dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, memasuki 
hari kelapan hari ini setelah hilang pada Sabtu lepas. – BERNAMA
    Share On:
ADMIN

PERINGATAN:JOMBACAPAPER.BLOGSPOT.COM tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.