KETIKA ini terdapat empat nama yang disiasat agensi risikan Malaysia dan antarabangsa dalam kemungkinan penggunaan identiti dan pasport palsu di kalangan penumpang MH370 yang berlepas ke Beijing pukul 12.41 pagi, Sabtu lalu.
Jumlah itu merupakan penambahan lagi dua penumpang misteri berbanding yang dilaporkan sebelum ini.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein dalam sidang media sebentar tadi.Kesemua nama berkenaan
menurut beliau, sedang disiasat dan unit anti-pengganas negara-negara
berkaitan dengan kehilangan pesawat MH370 telah diaktifkan untuk
menyiasat kehilangan pesawat berkenaan.
Hishammuddin berkata, siasatan juga tidak tertumpu kepada empat individu
berkenaan sebaliknya ia melibatkan kesemua 227 penumpang yang menaiki
pesawat berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan hanya ada dua penumpang dipercayai
menggunakan dokumen perjalanan curi menaiki pesawat Malaysia Airlines
(MAS) MH370 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Dua individu awal yang tidak dikenalpasti identitinya sehingga kini
menggunakan identiti seorang warga Austria dan Itali, menurut laporan
Reuters.
Kedua-dua individu itu iaitu Christian Kozel warga Austria dan Luigi Maraldi
warga Itali.Menurut kementerian luar negara berkenaan, kedua-duanya tidak
berada di atas pesawat itu dan masih hidup.
Wakil jurucakap kementerian di Vienna, Austria berkata kedutaan negara itu
menerima maklumat bahawa ada warga Austria di atas pesawat berkenaan.
“Sistem kami memberi maklum balas bahawa ia adalah pasport yang dicuri,”
katanya.Polis Austria juga menerumi Kozel selamat di rumahnya dan beliau
mengaku pernah membuat laporan kehilangan pasportnya kira-kira dua tahun
lalu ketika bercuti di Thailand.
Kementerian luar Itali pula memberi kenyataan tiada warga Itali sedang berada
di atas pesawat biarpun nama Maraldi ada dalam senarai penumpang pesawat
MH370 berkenaan.Ibu Maraldi, Renata Lucchi memberitahu agensi berita
Reuters bahawa pasport anaknya dicuri di Thailand pada 2013.